Ketika Cinta Bertasbih (KCB) Spesial Ramadan, merupakan drama sinetron karya Habibulrahman el Shirazy. Ia merupakan kesinambungan kepada penamat KCB 2, filem yang berasal dari karya novel Kang Abik sendiri. Secara mudah ia mudah dikategorikan karya cinta islami, namun ia penuh dengan beberapa nasihat dan inti permasalahan kehidupan yang cuba dicungkil Kang Abik.
Tidak sekadar berteraskan kepada keretakan pasca perkahwinan yang ditonjolkan menerusi watak Abdullah Khairul Azzam dan Anna Althafunisa. Drama bersiri 56 episod ini juga membawa beberapa tema penting dalam kehidupan, antaranya penghijrahan mereka yang pernah tersilap langkah dari sudut yang berbeza, ditonjolkan menerusi watak, Aprilia, Alvina Puspitasari dan Ronald.
Tema keangkuhan dan kesombongan juga dibawa menerusi watak Haji Samingan, Pak Busro dan Bu Maylaf. Jelas Kang Abik cuba membawa beberapa contoh dan menawarkan penjelasan kepada masyarakat dalam permasalahan ini. Karya ini juga membawa masyarakat merenung kehidupan komuniti pengemis yang terdiri dari kanak-kanak di Indonesia saat Sarah hilang di Semerang. Di sini, elemen kemiskinan dan kurangnya segmen masyarakat ini memahami dan jauh dari hidayah amat ditonjolkan, mengusik rasa syukur bagi mereka yang beroleh hidayah.
Namun, kemuncak kepada segala tema kehidupan ini sudah pasti dimainkan dua watak paling utama, iaitu Azzam dan Anna selaku teraju utama Pesantren Darul Quran, setelah pemergian Kiyai Lutfi ke Mekah. Cabaran yang dibawa Azzam, seorang pemuda yang terpaksa menguruskan Pesantren di usia muda, berdepan permasalahan masyarakat, dalam masa sama mengurus perniagaan, mengurus kebajikan adik-adik, dan yang pasti berusaha menstabilkan suasana rumah tangga yang dipalit sikap prasangka, cemburu, dan fitnah.
Manakala watak Anna memainkan tema paling penting dalam kehidupan, iaitu pergantungan secara mutlak kepada Allah swt, serta mendahulukan cinta kepada Allah swt jauh melebihi segala yang dikasihi di dunia. Plot cerita yang disusun dengan baik membolehkan penonton merasai nilai pengorbanan kerana cinta pada Yang Maha Esa. Sudah pasti penampilan Kang Abik sebagai Ustaz Mujab, adik Kiyai Lutfi dalam drama ini merupakan elemen penting sebagai penasihat dalam menangani segala masalah yang ditonjolkan sepanjang drama ini dipertontonkan.
Lebih menarik apabila ia diselesaikan dengan mengambil teladan dari kehidupan Baginda Nabi Muhammmad saw dan ayat-ayat Allah dalam al Quran. Secara tidak langsung ia menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat untuk melihat kehebatan pribadi Baginda Nabi Muhammad saw. Perwatakan Husna sebagai graduan dalam bidang psikologi juga digunakan untuk mengajar masyarakat supaya menyelesaikan masalah dalam keadaan tenang dan tidak emosi, elemen penting bagi pendakwah untuk memahami sunnatullah sikap manusia.
Di sebalik segala mesej dan tema yang dibawa menerusi drama ini, lebih cantik apabila, hampir 95% watak di dalam drama ini menjaga syariat dengan baik. Amat sedikit pelakon yang mebuka aurat, hampir tiada keadaan berpegangan tangan dan seumpamanya terutama pada watak-watak utama drama ini. Sudah tentu wujudnya penasihat hukum dalam drama ini memberi hasil yang sebaik ini.
KCB Spesial Ramadhan, tidak sekadar berjaya membawa tema-tema kehidupan yang penting dan solusi kepada permasalahan masyarakat, dalam masa sama ia berupaya menampilkan teknik lakonan yang mantap dalam masa sama menjaga syariat. Diharapkan ia permulaan yang baik dalam membentuk komuniti karyawan dan pelakon mukmin yang menggunakan lakonan sebagai dakwah, bukan memanfaatkan lakonan watak dakwah untuk keuntungan.
Dalam keadaan mana sekalipun, KCB Spesial Ramadhan ini hanya akan dapat diperolehi matlamatnya apabila penonton jelas apa yang ingin diperolehinya menerusi drama ini. Semoga yang diperolehi itu ilmu dan teladan kehidupan.
No comments:
Post a Comment