AirAsia siasat insiden pesawat terbabas
2011/01/11
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, akan melakukan siasatan dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berhubung kejadian pesawatnya yang terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semasa hujan lebat malam tadi.
Menurut satu kenyataan AirAsia hari ini, laporan awal mendapati darjah penglihatan ketika itu adalah cukup baik untuk melakukan pendaratan. Juruterbang berjaya mengawal pesawat untuk berhenti dengan selamat dan melaksanakan pemindahan penumpang selaras dengan prosedur operasi standard syarikat. Semua 123 penumpang pesawat penerbangan AK5218 dari Kuala Lumpur dipindahkan dengan selamat.
Empat penumpang mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital untuk pemerhatian sebelum dibenarkan keluar.
Penerbangan AirAsia dari Kuching yang terjejas akibat insiden itu adalah AK6036 (ke Kota Kinabalu - 6.10 pagi), AK5203 (ke Kuala Lumpur - 6.15 pagi), AK6562 (ke Bintulu - 6.20 pagi), AK6526 (ke Bintulu - 8.35 pagi) dan AK5201 (ke Kuala Lumpur - 9.35 pagi).
Penerbangan lain yang terjejas adalah AK6673 (ke Singapura - 9.50 pagi), AK5843 (ke Johor Baharu - 10.30 pagi), AK6546 (ke Miri - 11.10 pagi), AK5205 (ke Kuala Lumpur - 11.55 pagi), AK6505 (ke Pulau Pinang - 12.20 tengah hari) dan AK5207 (ke Kuala Lumpur - 1.55 petang).
Penumpang AirAsia yang terjejas akibat penutupan lapangan terbang berikutan insiden itu dinasihatkan menghubungi talian +603-2614 2999 dengan kata laluan 1231 10111. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment