ANDA PELAWAT KE

Oct 20, 2010

JANGAN BIAR DADAH PUPUSKAN GENERASI MUDA!

Sewajarnya golongan muda perlu diserapkan dengan nilai murni yang baik bagi membentuk belia yang sihat. Akan tetapi saban hari masih terdengar laporan di media tentang ketaksuban golongan muda hari ini melibatkan diri dengan gejala yang tidak sihat. Ancaman paling dahsyat adalah DADAH!

Heroin, ganja, kokain, nakotin, dadah jenis perangsang dan LSD antara jenis-jenis dadah yang biasa kita dengar. Semua ini terhasil dari bahan kimia yang memudaratkan seluruh tubuh badan apabila mengambilnya secara berlebihan. Seseorang yang mengambilnya berulangkali juga berisiko tinggi menjadi ketagih, dan apabila sudah bergantung pada dadah ia pastinya akan memusnahkan seluruh kehidupan.

Apa yang menjadi persoalannya sekarang, mengapa begitu mudah golongan muda hari ini terpengaruh dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah?

Sedangkan mereka sendiri sudah tahu akan bahayanya dadah terhadap kesihatan tubuh badan. Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan, bahawa golongan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai dikesan mengambil dadah. Malah media cetak mahupun elektronik sering melaporkan penangkapan remaja yang kini bukan sahaja mengambil dadah tetapi sudah pandai menjadi pengedar.

Penangkapan beberapa orang remaja yang melakukan kegiatan mengedar dan menjual dadah secara katalog baru-baru ini membuktikan golongan muda sekarang menjadikan dadah sebagai benda biasa. Itu hanya sebahagian laporan penyalahgunaan dadah melibatkan golongan muda hari ini. Masih banyak lagi kes-kes yang berjaya dikesan dan tidak diketahui pihak berkuasa. Paling membimbangkan terutama ibu bapa apabila terdapat para remaja atau golongan muda di negara kita dijadikan ‘umpan’ sesetengah pengedar dadah.

Seperti kes Nur Dhiya, 19 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town kerana membawa 1.2 kilogram syabu. Pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya dengan menawarkan peluang pekerjaan, sebaliknya diperdaya untuk dijadikan ‘keldai dadah’.

PENYALAHGUNAAN DADAH
Jika dilihat penyalahgunaan dadah melibatkan semua peringkat usia, tidak kira jantina lelaki atau wanita, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi hinggalah melibatkan para profesional. Nyata ‘wabak’ yang merosakkan masyarakat ini tidak mengenal siapa dan di mana sahaja. Seperti kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM 2008) mendapati kawasan pantai, ladang, kilang, tapak pembinaan malah di institusi pendidikan, dalam dan luar bandar antara tumpuan tempat penagihan serta penyalahgunaan dadah berlaku.

Apakah faktor yang menyebabkan golongan muda belia ini mudah terjerumus ke kancah dadah? Sedangkan ramai yang terlibat terdiri daripada mereka yang mempunyai pendidikan tinggi dan berfikiran waras. Seperti telah dinyatakan, dadah merebak di dalam masyarakat tanpa mengenal siapa.

Banyak kajian yang dibuat mengenalpasti, pengaruh rakan sebaya antara faktor meningkatnya penyalahgunaan dadah. Kebiasaannya golongan muda ini lebih suka berfantasi. Dari mencuba-cuba akhirnya mereka terperangkap dengan ketagihan. Terdapat juga sebahagian besar penyalahgunaan dadah ini dilakukan oleh golongan muda yang disebabkan oleh faktor persekitaran dan keadaan tekanan terutama yang berlaku di tempat kerja serta di dalam keluarga. Jalan paling singkat untuk menyelesaikan tekanan adalah dengan mengambil dadah. Haruskah begitu?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...